Cari Blog Ini

Jumaat, 30 September 2016

JANGAN PANDANG RINGAN SAKIT TONSIL






MENGALAMI sakit tekak ketika demam merupakan satu senario biasa yang sering dihidapi orang dewasa mahupun kanak-kanak.
Keadaan ini sudah pasti memberi ketidakselesaan kerana selain berasa sakit di bahagian tekak, pesakit juga akan mengalami masalah untuk menelan.
Lazimnya, jika masalah ini berlaku adalah berkaitan masalah tonsil membengkak dan selalunya dipanggil tonsilitis kerana disebabkan jangkitan kuman.
Bagaimanapun menurut Pakar Perunding Telinga, Hidung, Tekak dan Surgeri Kepala dan Leher, Kelana Jaya Medical Centre, Dr. Samril Bokari, tonsilitis di kalangan kanak-kanak boleh membahayakan nyawa.
Ini kerana jelas beliau, apabila sampai tahap kritikal masalah itu boleh mengganggu sistem pernafasan selain membawa jangkitan ke organ dalaman lain seperti jantung dan buah pinggang.
"Lazimnya kanak-kanak yang mengalami demam, antara perkara pertama yang akan diperiksa oleh doktor ialah memastikan sama ada tonsil mereka membengkak ataupun tidak.
"Sekiranya tonsil membengkak doktor akan mengenalpasti adakah itu jangkitan kuman virus atau bakteria.
"Sekiranya bengkak tersebut disebabkan bakteria pesakit perlu berhati-hati kerana ia boleh membawa maut," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Secara umumnya semua orang mempunyai tonsil yang merupakan bonjolan di tepi kiri dan kanan anak tekak.
Bonjolan ini tidak berbahaya kerana tonsil berfungsi sebagai salah satu sistem pertahanan badan daripada serangan kuman.
Begitupun kebanyakan kanak-kanak mempunyai tonsil yang lebih besar berbanding orang dewasa kerana tubuh baru mengenali kuman dan bakteria.
Bagaimanapun apabila meningkat dewasa bonjolan ini semakin mengecil dan fungsinya sebagai satu mekanisme pertahanan diri daripada kuman juga tidak penting lagi.
Tambah Dr. Samril lagi, walaupun pada dasarnya tonsil berperanan sebagai sistem pertahanan badan daripada serangan kuman, tetapi ia hanya berfungsi pada tahun pertama kelahiran.
Ini kerana jelas beliau selepas tahap tersebut, tonsil tidak lagi berfungsi dan sistem imuniti badan akan diambil alih oleh kelenjar limfa yang lain.
Jelas Dr. Samril, pada dasarnya, tonsil akan membengkak akibat daripada jangkitan virus ataupun bakteria.
Begitupun sekiranya hanya jangkitan virus, tonsilitis boleh pulih sendiri kerana pesakit hanya akan mengalami bersin, hidung tersumbat, selesema dan juga batuk.
Secara amnya, tonsil membengkak boleh pulih dengan sendiri namun pengambilan antibiotik membantu mempercepatkan proses pemulihan.
Katanya, sekiranya masalah tonsil membengkak berulang empat atau lima kali setahun, pesakit dinasihatkan untuk menjalani pembedahan membuang tonsil.
Situasi ini perlu sekiranya keadaan menjadi lebih kronik kerana ia menghalang sistem pernafasan selain tonsil tersebut akan bernanah.
Bagi yang mengganggu sistem pernafasan, ini dapat dilihat apabila pesakit akan berdengkur sewaktu tidur selain mulutnya berbau.
Apabila ditanya mengenai pandangan ramai yang mengatakan pembuangan organ terbabit akan menjejaskan sistem pertahanan tubuh, katanya, ia sebenarnya adalah satu kepercayaan yang salah.
Yang pasti, pembuangan tonsil tidak akan menjejaskan mana-mana bahagian malah pesakit akan lebih sihat selepas pembedahan dilakukan.


Artikel Penuh: SUMBER